Suka Blog Ini

Recent Post

Thursday, July 21, 2011

Israk Mikraj Hadiah Peringatan Untuk Umat

Walaupun peritiwa Israk dan Mikraj sudah lama berlalu, amat penting untuk kita mengambil pengajaran dari peristiwa tersebit. Setiap tahun kita akan menyambut hari yg pernah berlaku peritiwa tersebut dengan berbagai program ceramah dan puasa beramai-ramai pada 27 Rejab.. Tapi, adakah kita mengambil iktibar dari perisitwa itu? Sama-sama renungkan..

PERISTIWA Israk dan Mikraj diraikan umat Islam setiap tahun kerana ia terus relevan dengan kehidupan harian selain sebagai peringatan supaya sentiasa bermuhasabah diri ke arah membina jati diri Muslim yang kukuh. 

Walaupun sering diulang semula terutama mengenai pertemuan Nabi Muhammad SAW dengan golongan tertentu sepanjang perjalanan itu namun, ia tidak jemu didengar.Forum Israk dan Mikraj anjuran Jawatankuasa Biro Agama Persatuan Darul Ridzuan yang diadakan malam Khamis lalu, membuktikan wujud kesinambungan pengalaman dilalui Baginda SAW yang kemudian diceritakan kepada sahabat dan menjadi sebahagian sirah pegangan umat Islam hari ini.Ahli panel forum, juara program Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, berkata Israk dan Mikraj yang diberi sebagai hadiah kepada Nabi Muhammad SAW, juga adalah hadiah kepada umat Islam secara umumnya. 

Katanya, selain pensyariatan solat fardu yang suruhannya datang secara langsung daripada Allah, banyak lagi iktibar boleh dijadikan panduan umat Islam. 

“Sebenarnya banyak yang ditunjukkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk kita fikirkan. Nabi jumpa arwah orang baik yang mana wajah mereka bersinar-sinar dan berjumpa orang jahat yang hodoh wajahnya. 

“Nabi juga nampak orang yang pikul batu dalam bakul di belakang badannya dan terus memasukkan batu walaupun sudah hampir bongkok. Apabila ditanya, Jibril berkata, itulah mereka yang di dunia ini berani memikul amanah sedangkan dia tidak mampu sebenarnya,” katanya. 
Justeru, katanya, bagi mereka yang tidak berdaya memikul amanah jangan terlalu tamak hendakkan jawatan atau kuasa kerana bimbang akhirnya akan gagal memenuhi tanggungjawab itu. Beliau turut memberi contoh sikap manusia yang suka menzalimi diri sendiri berdasarkan kepada dalil al-Quran. 

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah (tanggungjawab agama) kepada langit dan bumi serta gunung ganang (untuk memikulnya) maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya. (Pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikul amanah itu. (Ingatlah) sesungguhnya (kebanyakan) manusia adalah suka melakukan kezaliman dan amat bodoh.” 
(Surah Al-Ahzab, ayat 72) 

Imam Masjid Jamek Batu 12, Puchong yang juga Penolong Pendaftar Nikah, Zainal Khamis, berkata sambutan Israk dan Mikraj juga bertujuan meningkatkan keimanan umat Islam terhadap perkara yang dianggap aneh oleh sesetengah pihak. 

Katanya, ada penjelasan logik untuk mereka yang masih meragui kesahihan perjalanan Nabi Muhammad SAW seperti dihujahkan ulama berdasarkan dalil al-Quran serta hadis dan umat Islam wajib mempercayainya. 

Beliau memberikan analogi seekor semut yang dibawa dari Taiping, Perak menaiki kereta ke Kuala Lumpur dan sejam kemudian, pulang ke Taiping. Sesampai di Taiping, semut itu kemudian bercerita mengenai perjalanannya kepada semut lain. 

“Membayangkan seekor semut berjalan dari Taiping ke Kuala Lumpur dan balik ke Taiping, pasti semut lain mengatakan dia tidak waras tetapi hakikatnya memang semut itu ke Kuala Lumpur menaiki kereta. 

“Begitu juga dengan mereka yang tidak mahu mempercayai perjalanan Israk dan Mikraj, mengatakan Baginda SAW tidak waras. Sebenarnya, itu bagi hati yang tidak ada keimanan tetapi bagi yang percaya kepada Nabi Muhammad SAW, akan mengikut sunnah Baginda,” katanya. 

Beliau turut mengingatkan umat Islam mengenai kepentingan solat serta memperbaiki mutu ibadat yang akan ditanya di akhirat nanti sebagai benteng menghadang daripada melakukan perkara mungkar. 

Katanya, jika ibadat solat tidak sempurna, maka seluruh ibadat lain juga tidak akan sempurna. Sebab itu ada yang menunaikan solat tetapi masih melakukan maksiat. 

Sumber: Mohd Hafiz

0 comments:

Pengumuman

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...