Suka Blog Ini

Recent Post

Tuesday, July 26, 2011

Tuduhan Berganda

Kuantan - Umat Islam di negeri ini yang didapati sengaja ponteng puasa dan makan di tempat terbuka bakal berdepan hukuman berganda sekiranya ditangkap pegawai Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) sepanjang bulan Ramadan nanti. Mereka bukan sahaja akan dituduh mengikut Seksyen 137 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang atas kesalahan tidak puasa malah boleh dikaitkan atas tuduhan menghina agama seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 170 enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit berdepan hukuman lebih berat iaitu denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Ketua Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Raffli Abdul Malek berkata, hukuman berganda kepada kaki culas puasa itu perlu bagi memastikan kesalahan itu tidak dilakukan sewenang-wenangnya kerana perbuatan tersebut boleh menjejaskan maruah dan kesucian agama Islam.

Menurutnya, tindakan sama turut diambil terhadap mereka yang membeli untuk tujuan makan terus dan peniaga yang menjual makanan kepada mereka yang tidak puasa di luar waktu dibenarkan. “Kebiasaannya bagi ketiga-tiga kesalahan yang kerap kali berlaku dalam bulan Ramadan itu, mereka yang didapati bersalah hanya dikenakan hukuman denda RM500 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali dan denda RM1,000 atau enam bulan bagi kesalahan kedua.

“Melalui perlaksanaan hukuman berganda itu, kita berharap kaki ponteng puasa tegar ini mengubah sikap dan menghormati kesucian bulan Ramadan,” katanya, semalam. Raffli berkata, individu yang ditahan kerana tidak berpuasa juga bakal berpeluang menaiki van Jenazah dari ‘port’ mereka ke pejabat bahagian Penguatkuasaan Jaip. Beliau berkata, sepanjang bulan Ramadan tahun lalu, sebanyak 70 kes melibatkan kesalahan tidak puasa direkodkan.

“Tahun ini Bahagian Penguat kuasa JAIP akan melakukan rondaan pantau aktiviti ‘makan tengah hari’ bermula hari pertama Ramadan. “Rondaan akan dilakukan setiap hari di seluruh daerah termasuk gerakan bersepadu dengan pihak berkuasa tempatan di tempat-tempat yang dikenal pasti menjadi tumpuan kaki ponteng puasa seperti restoran bukan Islam, semak, rumah kosong, ladang dan sebagainya. “Kita juga akan mengambil tindakan segera terhadap aduan orang ramai berhubung kesalahan itu termasuk peniaga yang mengambil kesempatan menjual makanan kepada kelompok terbabit pada waktu yang tidak dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, umat Islam dinasihatkan supaya menghormati bulan Ramadan dan mengambil kesempatan memperbanyakkan ibadat dalam bulan yang penuh berkat itu. “Jika seseorang itu ada alasan untuk berbuka sama ada atas faktor kesihatan dan sebagainya, elakkan makan di tempat terbuka. “Berdasarkan pengalaman kita, kebanyakan kaki ponteng puasa yang dicekup menggunakan alasan sakit sebagai helah untuk makan pada waktu siang hari namun ketika ditahan mereka tidak makan ubat sebaliknya sedang menghisap rokok,” katanya.

Sumber: Sinar Harian.

Dengor tu orang-orang Pahang, jangan cube-cube ponteng puasa ye.hahaha.

0 comments:

Pengumuman

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...